Dunia sudah menunjukkan tanda-tanda yang ia bakal berakhir. Kematian itu pasti dan ia pada hakikatnya semakin hampir. Setiap detik yang berlalu, jika kita renungkan, sudah pasti akan menyebabkan kita tersedar tentang firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Setiap yang bernyawa, pasti akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).” – (Al-Ankabut : 57)
Tidak kira kaya atau miskin, tua atau muda, sihat atau sakit, apabila tiba masanya, kematian akan datang sebagaimana disebutkan dalam surah Al-A’raf ayat 34 yang bermaksud :
“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan dan tidak pula dapat mereka dahulukan walau sesaat pun.”.
Antara pentanda hampirnya kiamat juga adalah akan banyak berlaku kematian secara mengejut atau mendadak.
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ مِنْ أَمَارَاتِ السَّاعَةِ ... وَأَنْ يَظْهَرَ مَوْتُ الْفَجْأَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya di antara tanda Kiamat … akan banyak berlakunya kematian secara mengejut.” (ath-Thabrani dalam al-Ausath)
Semalam kita dimaklumkan 10 kematian sudah tercatat di Malaysia. Jika dilihat carta https://www.worldometers.info/coronavirus/ pada hari ini, kematian diseluruh dunia sudah meningkat secara mendadak kepada 14,613 (mungkin naik lagi hari ini) disebabkan wabak COVID19 sahaja.
Allahu…berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bertaqwalah kepada Allah sementara kita masih diberi peluang ini. Sebesar mana pun dosa kita pernah buat, pintu taubat masih dibuka.
Semoga kita semua dikurniakan Husnul Khatimah (Pengakhiran yang baik). Aamiiin.
- Syukri Sarapudin
0 comments:
Post a Comment